MyGov Portal
SearchFunction
Privacy Policy
feedbackform
PDPA
Broadcast
Pengenalan Kami
Berita
Soalan Lazim
Pekeliling
Hubungi Kami
Multilang
Sitemap
W3C Disability Accessibility
Number of Online Services
Freedom of Information
Online E-Participation
image
Tetapan Semula Menukar kontras kepada cerahMenukar kontras kepada asalMenukar kontras kepada gelapKecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T

bm en

Print
Tajuk Kenyataan Akhbar Y.B. Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi- Mengenai Insiden Nuklear Akibat Kejadian Gempabumi Dan Tsunami Di Jepun ( 21 Mac 2011, 3.00 Petang )
Penerangan

 

PRESS RELEASE

KENYATAAN AKHBAR

Y.B. MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

MENGENAI INSIDEN NUKLEAR AKIBAT KEJADIAN

GEMPABUMI DAN TSUNAMI DI JEPUN 

 ------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

21 Mac 2011, 3 petang

 

KEADAAN DI JEPUN

1.       Pada 20 Mac 2011, jam 11.30 malam di Malaysia, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melaporkan terdapat perkembangan yang positif di Stesen Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi walaupun keadaan masih kekal serius. Sistem penyejukan bagi kolam simpanan bahanapi nuklear terpakai di loji kuasa nuklear unit 5 dan 6 telah pulih dan suhu telah menurun ke 40oC dari 69oC.

 

2.       Bagi unit 1, 2 dan 3, suntikan air laut masih diteruskan manakala bagi unit 4, semburan air ke dalam kolam simpanan diteruskan. Usaha bagi memulihkan bekalan elektrik masih diteruskan.

 

3.       Bacaan sinaran di bandar-bandar utama masih menunjukkan kadar yang jauh lebih rendah dari nilai yang membahayakan manusia. Pengukuran tambahan bagi kawasan sekitar 150 km dari lokasi kejadian menunjukkan nilai beberapa mikro Sievert per jam yang melebihi nilai biasa (0.1 mikro Sievert/jam).

 

4.       Pemonitoran produk makanan menunjukkan kehadiran Iodin-131 di dalam susu, bayam dan daun bawang yang melebihi nilai yang dibenarkan oleh peraturan Jepun dan pengambilan produk-produk ini telah dilarang oleh Kerajaan Jepun.

 

5.       Berdasarkan ramalan oleh pusat-pusat tindak balas kecemasan persekitaran di bawah Pertubuhan Meteorologi Sedunia, bagi tempoh sehingga 23 Mac 2011, pergerakan  sebarang bahan cemar radioaktif iodin yang terlepas dari logi nuklear Fukushima untuk tempoh 72 jam dari tarikh  20 Mac 2011 adalah ke arah timur/timur laut sehingga 21 Mac dan ke arah barat daya pada 22-23 Mac 2011. Untuk tempoh tersebut sebarang pencemaran radioaktif iodin jika ada adalah di  sekitar negara Jepun dan  tidak akan sampai ke Malaysia.  

 

TINDAKAN OLEH MOSTI:  

 

1.           MOSTI, meneruskan usaha memantau secara aktif keadaan insiden nuklear di Jepun dan impak kepada negara kita melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

 

2.           Pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di 6 lokasi seluruh Malaysia (Chuping, Ipoh, Sri Aman, Kuantan, Kudat dan Senai) diteruskan dan masih menunjukkan paras normal di mana data pada 10.00 pagi, 21 Mac 2011 adalah 0.028 hingga 0.174 mikro Sievert per jam. Paras ini masih merupakan bacaan normal untuk Malaysia.  

 

3.       Langkah berjaga-jaga melalui Sistem Pemonitoran Portal (Radiation Portal Monitors – RPMs) yang sememangnya telahpun dipasang di KLIA sejak 2009, juga menunjukkan paras normal dan tiada sebarang pencemaran dikesan. Pegawai AELB dan Nuklear Malaysia turut berada di lapangan terbang utama yang menerima pesawat dari Jepun untuk melakukan saringan kedua (pemonitoran individu), yang akan dibuat hanya jika terdapat bacaan yang melebihi kadar yang dibenarkan (0.5 mikro Sievert).

 

4.       Namun demikian, mana-mana penumpang yang ingin mendapatkan khidmat pemonitoran cemaran radioaktif lebih lanjut, bolehlah memohon kepada pegawai AELB yang sedang bertugas di KLIA dan LCCT.

 

5.       Buat masa ini, AELB berpendapat orang awam tidak perlu melakukan pengesanan sinaran untuk mengesan pencemaran kerana situasi di Malaysia masih berada di tahap normal dan terkawal. Walau bagaimanapun, sekiranya orang awam ingin melakukan pemonitoran individu, ia boleh dilakukan secara percuma di AELB. Kemudahan perkhidmatan pengesanan sinaran ke atas individu ini bermula dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari di Ibu Pejabat AELB, Batu 24, Jalan Dengkil, Selangor Darul Ehsan bermula 20 Mac 2011.

 

6.       Dari segi keselamatan makanan, merujuk pada kenyataan akhbar tempatan pada 20 Mac 2011 berkaitan pencemaran bahan radioaktif dalam susu dan bayam di negara Jepun yang melebihi had di bawah undang-undang Jepun, mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia tidak mengimport kedua-dua produk tersebut dari Jepun berdasarkan maklumat dari Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) di bawah KKM. Menurut maklumat dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga, Malaysia tidak mengimport susu dari Jepun sejak tahun 2010 kerana risiko penyakit kaki dan mulut pada ternakan lembu di negara tersebut.

 

7.       Sebagai langkah berjaga-jaga, KKM telah mengenakan Pemeriksaan Tahap 5 iaitu Tahan, Uji dan Lepas terhadap produk makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan hasilan ikan serta hasilan daging dan sebagainya yang diimport dari Jepun. Sampel makanan diambil dari setiap konsainmen makanan dari Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif di Agensi Nuklear Malaysia. Nuklear Malaysia, yang melakukan perkhidmatan pengesanan bahan radioaktif di dalam makanan. Sehingga kini, sebanyak 16 sampel telah dianalisis dan didapati kesemuanya mematuhi tahap kandungan bahan radioaktif yang dibenarkan.

 

8.       Pengguna tidak perlu khuatir dengan makanan yang dijual di pasaran dan yang diimport. KKM akan sentiasa memantau keselamatan produk makanan dari masa ke semasa termasuk produk makanan yang diimport dari negara Jepun

 

9.           MOSTI menasihatkan sekali lagi kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak bimbang dan tidak mempercayai khabar-khabar angin dari sumber yang tidak berasas.   

 

10.      Bagi sebarang pertanyaan, bolehlah dirujuk kepada Pusat Maklumat Radiologi AELB melalui talian Hotline AELB 1 800 88 7999 begin_of_the_skype_highlighting   atau di 03-8922 5848end_of_the_skype_highlighting atau melalui emel di MNR-Customer@aelb.gov.my

 

11.      Maklumat teknikal boleh di perolehi di laman web di   

a)     Laman Web IAEA (www.iaea.org)

b)     Laman Web MOSTI (www.mosti.gov.my)

c)     Laman Web AELB (www.aelb.gov.my)

d)     Laman Web Nuklear Malaysia (www.nuclearmalaysia.gov.my)

e)     Laman Web Kementerian Kesihatan Malaysia (www.moh.gov.my)

f)      Laman Web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (http://fsq.moh.gov.my)

Ditambah pada 21-03-2011 04:00:00

Lampiran-lampiran

  • {{field_96_337}}