Tajuk Penjelasan Mengenai Kejadian Kluster, Langkah-Langkah Pencegahan terhadap Influenza (Flu) Bermusim Termasuk Influenza A(H1n1) Dan Kedudukan Semasa Influenza A(H7N9) Di China
Penerangan

 

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

___________________________________________________________

 

PENJELASAN MENGENAI KEJADIAN KLUSTER, LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHANTERHADAP INFLUENZA (FLU) BERMUSIM TERMASUK INFLUENZA A(H1N1) DAN KEDUDUKAN SEMASA INFLUENZA A(H7N9) DI CHINA

 

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara di dunia tidak lagi memantau jangkitan virus influenza A(H1N1) secara khusus serta tiada keperluan bagi mana-mana negara untuk melaporkan kejadian kes influenza A(H1N1) kepada WHO. Ini disebabkan cara jangkitan,  tandatanda jangkitan dan  risiko untuk mendapat jangkitan dan komplikasi Akibat  influenza A(H1N1) adalah serupa dengan influenza bermusim (seasonal influenza) yang lain. Justeru itu, Kementerian Kesihatan tidak lagi mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai kejadian-kejadian kluster seperti ini.

 

Terdapat pandangan sesetengah pihak bahawa sedikit masa dahulu status Malaysia telah bebas dari influenza A(H1N1) dan kini dengan kemunculan kejadian kluster influenza-like illness (ILI) secara berkala, merupakan suatu penjelmaan semula. Ingin ditegaskan di sini bahawa tanggapan tersebut adalah satu tanggapan yang TIDAK BETUL.

 

Virus influenza A(H1N1) merupakan sebahagian dari populasi virus yang wujud secara bermusim, sebagaimana juga virus-virus Influenza A dan B yang lain. Oleh itu, virus influenza A(H1N1) akan terus bersamasama kita sebagai sebahagian dari virus influenza bermusim. Cara jangkitan virus influenza bermusim termasuk influenza A(H1N1) di dalam komuniti adalah melalui cecair (droplet) batuk atau bersin. Ia menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan, namun semua jenis virus Influenza boleh menyebabkan jangkitan yang teruk seperti pneumonia kepada kumpulan risiko seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes).

 

Oleh kerana demam selsema atau flu sangat mudah berjangkit (contagious), penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat-tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem-kem tentera dan polis. Oleh itu, mereka yang dijangkiti di institusi latihan seperti Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan asrama sekolah diasingkan daripada mereka yang sihat supaya ia tidak menular secara meluas. Mereka yang tidak sihat juga tidak digalakkan datang bekerja atau bersekolah. Sekiranya masih perlu untuk hadir bekerja, adalah disarankan sentiasa memakai topeng muka, menjaga kebersihan dan menjaga adab batuk dan bersin yang baik supaya tidak menjangkiti orang lain.  

 

Bagi setiap kejadian kluster (kumpulan) penyakit berjangkit yang  berlaku di sesuatu institusi atau tempat, Kementerian Kesihatan akan menjalankan kajian epidemiologi dan ujian makmal bagi menentukan penyebab kluster berkenaan. Langkah-langkah kawalan dan rawatan akan diambil mengikut penyebab jangkitan tersebut dan rawatan khusus dengan ubat anti-viral hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan gejala yang teruk dan mempunyai faktor risiko seperti yang dinyatakan di atas.

 

Merujuk kepada kejadian influenza A(H7N9) yang sedang berlaku di negara China, ia masih terhad di negara itu sahaja. Sehingga 14 April 2013, sejumlah 49 kes dengan sebelas (11) kematian telah dilaporkan dan kesemuanya setakat ini tidak menunjukkan sebarang hubungan secara epidemiologi di antara satu sama lain. WHO juga menegaskan bahawa masih belum terdapat bukti bahawa ia boleh berjangkit dari manusia ke manusia. Oleh itu, risiko berlaku pandemik seperti H1N1 belum dapat dibuktikan. WHO juga masih TIDAK menyarankan sebarang sekatan perjalanan atau saringan aktif di pintu-pintu masuk negara.   

 

Walaupun demikian, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah perlu bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Sistem survelan influenza melibatkan 513 fasiliti kesihatan seluruh Negara berjalan lancar bagi mengesan sebarang kejadian luar biasa dan ianya dipantau SETIAP hari oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis (Crisis Preparedness and Response Centre, CPRC), KKM. Makmal-makmal rujukan kebangsaan juga telah disiap-sediakan dan berupaya bagi mengesan virus-virus baru termasuk Influenza A(H7N9). Di samping itu, Kementerian juga  bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veteriner yang turut menjalankan survelan di kalangan unggas (poultry). Sehingga kini tidak terdapat kejadian luar biasa dilaporkan di kalangan populasi unggas setempat dan juga yang bermigratori di negara ini.  

 

Sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pandemik Avian Influenza, latihan simulasi menghadapi wabak juga merupakan program latihan rutin yang diadakan setiap tahun seperti tahun 2011 melibatkan pemerhati dari negara ASEAN sebagai sebahagian dari kerjasama serantau dan latihan simulasi terkini adalah pada 10 hingga11 April tahun 2013. Kementerian juga sentiasa berhubung rapat dengan pihak WHO, makmal-makmal rujukan antarabangsa seperti Makmal Rujukan Serantau WHO di Melbourne, Australia dan CDC di  Atlanta, Amerika Syarikat. Kementerian Kesihatan memberi jaminan akan membuat hebahan awam dengan segera jika terdapat sebarang kejadian luar biasa.

 

KKM ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah yang mudah bagi mencegah penularan jangkitan influenza seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau sanitiser, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat. Ia berkesan kepada semua jenis influenza dan juga penyakitpenyakit berjangkit yang lain. Bagi mereka yang mempunyai gejala ILI adalah dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai manakala golongan berisiko tinggi perlu mendapatkan  rawatan di klinik yang berhampiran dan digalakkan supaya mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang turut meliputi influenza A(H1N1) yang kini berada di pasaran.

 

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

14 April 2013

Ditambah pada 14-04-2013 04:00:00