Tajuk DOKTOR WANITA
Akhbar Harian Metro
Tarikh Siaran 13-11-2015
Kategori Setempat
Dikeluarkan Oleh Dr. Erlendawati Binti Mohd Anuar (Ketua Penolong Pengarah Kanan UD 52)
Maklum Balas Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia perihatin dengan perkara yang dibangkitkan oleh pihak tuan/puan. Walaubagaimana pun dalam penyampaian perkhidmatan perubatan dan kesihatan Kementerian Kesihatan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha memberikan rawatan yang terbaik. Kementerian Kesihatan berusaha untuk melatih para doktor dan paramedik yang merawat adalah mahir dan berketrampilan. Sehubungan itu, dalam hal yang dibangkitkan ini, Kementerian Kesihatan tiada halangan untuk melaksanakan perkara ini tetapi ianya tertakluk kepada keadaan terdapatnya doktor wanita pada ketika itu. Namun begitu Kementerian Kesihatan perihatin tentang keperluan rawatan yang diberikan kepada rakyat mengikut keperluan masing-masing, termasuklah dari segi kualiti, kerahsiaan, gender dan sebagainya. Semua graduan dalam bidang perubatan telah dilatih dalam bidang-bidang utama perubatan, termasuklah bidang kebidanan dan sakit puan yang meliputi kes-kes bersalin, supaya dapat menjadi seorang doktor yang kompeten dan boleh ditempatkan di mana-mana fasiliti Kementerian Kesihatan bagi memberikan rawatan kepada rakyat. Oleh itu, di fasiliti kesihatan tertentu, termasuklah di pedalaman, kadangkala tiada doktor wanita yang bertugas. Dalam keadaan tersebut, rawatan kes bersalin perlu diberikan oleh doktor lelaki. Dasar Kementerian Kesihatan menetapkan bahawa semasa pemeriksaan dan rawatan pesakit perempuan dilaksanakan oleh pegawai perubatan lelaki, seorang chaperon perempuan wajib hadir bersama. Seperti yang diamalkan di luar negara juga, semua doktor di negara ini, tanpa mengira jantina, mempunyai kebebasan untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam mana-mana bidang pilihan mereka, termasuklah bidang kebidanan dan sakit puan. Sehubungan ini, terdapat ramai doktor wanita yang memilih bidang-bidang kepakaran lain, seperti bidang otopedik, forensik, onkologi, bedah otak dan sebagainya, dan bukan hanya bidang kebidanan dan sakit puan yang melibatkan kes bersalin.