Moh Kita Sihat,
Bagan Datuk, Perak
23 November 2025
Program Jelajah ANMS: Moh Kita Sihat telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet ANMS. Turut hadir sama Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. Kedua-duanya menekankan bahawa ANMS merupakan gerakan nasional untuk membudayakan kesihatan dalam kalangan rakyat.
Dalam ucapan perasmian, Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa pendekatan “Sihat Itu Saya, Sihat Itu Kita, Sihat Itu Malaysia” perlu dijadikan falsafah baharu negara dalam memperkukuh agenda kesihatan nasional.
Pelaksanaan Program
Program jelajah ini merangkumi beberapa komponen utama, antaranya:
• MyCHAMPION bersama Wellness on Wheels (WoW) Zoomers melaksanakan aktiviti dari rumah ke rumah serta program komuniti di 622 lokaliti, melibatkan hampir 100,000 penduduk.
• Larian Jambatan Sultan Nazrin ShahMenarik penyertaan hampir 2,000 peserta bagi jarak 21km, 10km dan 5km.
• Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 2.0 Membabitkan lebih 400 sukarelawan dalam kerja pembersihan dan pemeriksaan Aedes serta pendidikan kesihatan awam
Sehingga kini, seramai 18,357 sukarelawan MyCHAMPION berdaftar sebagai penggerak utama pendidikan kesihatan komuniti. Mereka diperkasa melalui Geran Promosi Kesihatan berjumlah RM1.86 juta, melibatkan 179 projek komuniti di seluruh negara.
Program Jelajah ANMS ini sekaligus mengukuhkan usaha kerajaan dalam memperkasa komuniti yang sihat, berdaya tahan dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Wellness Hub Bekenu Bakal jadi Pusat Kesejahteraan Terbesar di Malaysia
8 November 2025
Wellness Hub Bekenu yang kini dalam proses pembinaan bakal menjadi pusat kesejahteraan kesihatan terbesar di Malaysia. Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Datu Lukanisman Awang Sauni yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata, projek berkonsepkan sehenti itu merupakan inisiatif penting dalam memperkukuh pembudayaan hidup sihat dalam kalangan komuniti luar bandar. Jelas beliau, Wellness Hub Bekenu akan menjadi pusat rujukan bagi penilaian faktor risiko kesihatan, rundingan gaya hidup sihat, pengurusan berat badan, serta pelbagai aktiviti kecergasan seperti gimnasium dan studio senaman.
"Di Sarawak kita mempunyai sebuah wellness hub yang telah siap di Samarahan dan juga yang kedua adalah Wellness Hub Sibuti yang boleh dikatakan wellness hub yang terbesar berdasarkan kaki persegi.” “Dan yang ketiga kelak kita akan lancarkan wellness hub di Sarawak iaitu wellness hub Betong” “Seluruh Malaysia kita ada 33 wellness hub yang aktif yang sedang dibina di Sabah ,Sarawak Dan juga Semenanjung Malaysia,” katanya Kepada pemberita selepas merasmikan Festival Sihat Itu Saya 2025 di Pusat Transfirmasi Luar Bandar Bekenu.
Jelas beliau, pembinaan kemudahan berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung November ini dan akan menjadi model untuk pembangunan pusat kesihatan komuniti di negeri-negeri lain. Kemudahan seperti ini penting kerana ia memberi akses terus kepada perkhidmatan kesihatan pencegahan dan sokongan komuniti tanpa perlu ke hospital selain menggalakkan rakyat menilai tahap kesihatan mereka lebih awal. Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia agar mengamalkan lima komponen utama budaya hidup sihat iaitu kekal aktif, makan secara sihat dan selamat, menjaga kesihatan kendiri, berfikiran positif serta menjauhi rokok dan vape.
Tegas beliau lagi, Kesihatan bermula dengan diri sendiri Kerana Jika setiap individu mengambil tanggungjawab terhadap gaya hidupnya, kita akan dapat mewujudkan masyarakat yang sihat dan produktif. Beliau turut menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited memperkukuh literasi kesihatan masyarakat melalui program komuniti seperti Wellness Hub Bekenu dan MyCHAMPION ini. Turut hadir ADUN Bekenu merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita,Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Hajah Rosey Yunus serta tetamu kehormat yang lain.
Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2025
19 - 21 September 2025
YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah menyempurnakan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Kebangsaan 2025. Dalam majlis tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan inisiatif Healthy Living Mall, iaitu konsep pusat beli-belah mesra pembudayaan hidup sihat yang bertujuan meningkatkan literasi kesihatan rakyat.
Komponen Healthy Living Mall:
- Kekal Aktif - Laluan berjalan, ruang rekreasi, healing space dan aktiviti fizikal berkala
- Makanan Sihat dan Selamat – Promosi HCL, premis BeSS, penyediaan buah & sayur di pintu masuk, serta pilihan susu sihat
- Bebas Asap Rokok – Larangan merokok dan vape di dalam serta sekitar pusat beli-belah selaras Akta 852
- Kitar Semula – Program kutipan e-waste dengan kerjasama sukarelawan MyCHAMPION untuk manfaat komuniti
- Promosi Media – Penyampaian mesej kesihatan melalui lif, troli, platform digital serta inisiatif “healthy hour”
Sehubungan itu, KKM menyeru pengusaha premis makanan dan minuman agar menyediakan lebih banyak pilihan menu sihat, selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
Program Kembara Sihat Sejahtera HePiLI bersama Didi & Friends Zon Pantai Timur
30 Mei - 1 Jun 2025
Program Kembara Sihat Sejahtera HePiLI Bersama Didi & Friends Zon Pantai Timur telah berlangsung dengan jayanya bermula dengan sesi Meet & Greet di dua buah sekolah terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu pada 26 Mei 2025 dan Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud 2, Besut pada 28 Mei 2025. Kemuncak program telah diadakan pada 30 Mei hingga 1 Jun 2025 bertempat di KB Mall, Kota Bharu, Kelantan.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi menarik penglibatan pengunjung terutamanya kanak-kanak dan keluarga. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah showcase interaktif HePiLI, permainan interaktif, serta persembahan pentas bersama watak popular Didi & Friends.
Fokus utama program adalah untuk memupuk enam (6) tingkah laku kesihatan dalam pembudayaan hidup sihat, iaitu:
1. Penjagaan kebersihan diri
2. Penjagaan kebersihan persekitaran
3. Pengamalan pemakanan sihat
4. Pengaktifan gaya hidup aktif
5. Penolakan terhadap rokok dan vape
6. Kefahaman tentang sentuhan selamat dan tidak selamat
Nilai-nilai ini disampaikan secara santai dan mesra melalui pendekatan pendidikan interaktif, bertujuan meningkatkan kemahiran dan kesedaran tingkah laku sihat dalam kalangan pengunjung, khususnya kanak-kanak.
Program turut diserikan dengan pelancaran Pakej HePiLI Institusi Pendidikan, yang telah disempurnakan oleh YB Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad. Sepanjang program berlangsung, sejumlah 18,025 orang pengunjung telah direkodkan hadir.
Sambutan World Physical Activity Day (WoPAD) bersempena Inisiatif Car Free Day Putrajaya
13 April 2025
YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan dan YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), bersama-sama menyatakan komitmen memperkukuh kesihatan rakyat menerusi sambutan World Physical Activity Day (WoPAD) yang diadakan sempena Car Free Day di Dataran Putrajaya.
Bertemakan "Have A Good Time! Be Active." WoPAD menekankan kepentingan keseronokan dalam aktiviti fizikal. Acara dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti Syawal Fun Walk, Aerofithon, permainan tradisional, cabaran kecergasan serta pemeriksaan kesihatan.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Cabaran Langkah Sihat Putrajaya Antara Kementerian yang akan berlangsung pada 13-27 Mei 2025, dengan sasaran penyertaan lebih tinggi berbanding tahun 2024 yang mencatatkan 13,031 peserta.
Inisiatif Putrajaya Sihat Sejahtera (PSS) yang digerakkan sejak 2024 melibatkan lebih 60,000 penjawat awam daripada 25 kementerian dan agensi, dengan fokus kepada pembudayaan gaya hidup secara menyeluruh.
Geran MyCHAMPION: Peluang Transformasi Kesihatan Komuniti
8, 9, 15 - 16 Februari 2025
Townhall Geran Pasukan MyCHAMPION kini menjelajah seluruh negara bagi memberi pendedahan kepada sukarelawan MyCHAMPION dan NGO mengenai peluang memperoleh geran untuk melaksanakan inisiatif kesihatan di peringkat komuniti.
Siri townhall ini telah diadakan di beberapa lokasi, termasuk UiTM Kampus Bandaraya Melaka (Zon Selatan, 8 Februari), Dewan Serbaguna KKM (Zon Tengah, 9 Februari), dan Ar-Riyadah Residence, Kuala Terengganu (Zon Pantai Timur, 15-16 Februari).
Sepanjang program ini, peserta diberikan bimbingan khas mengenai penyediaan kertas kerja projek, syarat kelayakan permohonan, serta jenis aktiviti yang layak menerima pembiayaan geran.
Inisiatif ini bukan sekadar menyalurkan dana, tetapi merupakan langkah penting dalam mentransformasikan sistem kesihatan negara daripada pendekatan ‘sick care’ kepada ‘health care’. Komuniti digalakkan untuk bersikap lebih proaktif dalam merancang dan melaksanakan aktiviti kesihatan yang memberi impak jangka panjang.
Townhall ini dijangka terus menjadi pemangkin utama dalam melahirkan generasi MyCHAMPION yang bukan sahaja bersemangat tetapi juga berilmu dalam menggerakkan perubahan kesihatan di peringkat akar umbi.
Siri townhall seterusnya akan diteruskan di Zon Utara, Zon Sabah, dan Zon Sarawak pada bulan April.
Program Kesejahteraan Kesihatan di Parlimen
4 - 14 November 2024
YB Tan Sri Dato' (Dr.) Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, telah merasmikan program kesejahteraan kesihatan di Parlimen. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan inisiatif pembudayaan hidup sihat dalam kalangan Ahlli-ahli Yang Berhormat melalui beberapa komponen utama:
1. Wellness on Wheels (WoW) - Program ini menyediakan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan dengan pendekatan jangkau luar yang merangkumi penyampaian maklumat kesihatan, pendidikan kemahiran hidup sihat dan perkhidmatan promosi kesihatan secara terus kepada rakyat oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan. Perkhidmatan WoW meliput saringan kesihatan, konsultasi pengurusan berat badan, bantuan berhenti merokok serta sesi demonstrasi aktiviti fizikal dan senaman.
2. Inisiatif War on Sugar - Selaras dengan pengumuman Hari Tanpa Gula setip hari Rabu di Parlimen dan kempen 'Jom Kosong' yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bagi mengurangkan penggunaan gula dalam kehidupan seharian.
3. 1,000 Hari Pertama Kehidupan - Inisiatif ini bertujuan menangani isu malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak melalui khidmat nasihat pemakanan, pengurusan berat dan sokongan penyusuan ibu yang diberikan oleh Pegawai Pemakanan.
Sokongan Ahli Parlimen dalam inisiatif ini adalah sangat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Semua pihak diseru untuk bersama-sama mempromosikan budaya hidup sihat demi #MalaysiaSihat
Majlis Pelancaran Putrajaya Sihat Sejahtera sempena Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Putrajaya 2024
28 - 29 September 2024
YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, telah merasmikan inisiatif Putrajaya Sihat Sejahtera (PSS) di Dataran Wawasan, Presint 2, Putrajaya, sebagai sebahagian daripada Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS). Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan faktor risiko kesihatan dalam kalangan penjawat awam, sekaligus mempromosikan budaya hidup sihat dan persekitaran yang lebih bersih di Putrajaya.
Bagi memeriahkan sambutan selama dua hari ini, pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan, termasuk saringan kesihatan, pertandingan lompat tali, gusti lengan, zumba neon, permainan interaktif. Langkah Sihat BMSS serta cabaran bersama pempengaruh. Tidak ketinggalan, Majlis Penutup MyVifiter juga berjaya diadakan dengan penuh meriah. Syabas diucapkan kepada semua pemenang dan semoga mereka terus kekal aktif, cergas dan sihat pada masa akan datang.
Majlis Sambutan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat kebangsaan 2024
6 - 8 September 2024
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, telah melancarkan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan (DLKK) dan Kempen Perangi Gula bersempena dengan sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YAB Dato' Seri Utama Haji Aminuddin bin Haji Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, YB Dato' M K Ibrahim bin Abd Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan serta YBhg. Tan Sri Dato' Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan (DLKK) merupakan sebahagian daripada inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat. Melalui dasar ini, diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia akan mengamalkan budaya hidup sihat dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar penyakit.
Majlis Perasmian Wellness Hub
Lahad Datu, Sabah
4Mei 2024
YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Wellness Hub Lahad Datu, Sabah. Wellness Hub ini menawarkan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan yang komprehensif untuk pengukuhan pembudayaan hidup sihat termasuk peningkatan literasi kesihatan. Selain itu, perkhidmatan Wellness Hub di Lahad Datu dilengkapkan dengan Wellness on Wheels (WoW) iaitu perkhidmatan kesejahteraan kesihatan secara mobile bagi aktiviti jangkau luar (outreach) dalam memperkasa komuniti membudayakan hidup sihat.
Wellness Hub Lahad Datu telah memulakan operasinya pada 2 Januari 2024 dengan menawarkan 13 Pakej Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan untuk pelbagai peringkat umur seperti Penilaian Faktor Risiko Kesihatan, Pengurusan Berat Badan (IFitEr), Bicara Sihat, Sokongan Kesejahteraan, My Green Hands, Perkhidmatan Berhenti Merokok, Runding Cara Hidup Sihat, MyCHAMPION, Resilien, Seni Kreatif, Wellness Studio, Gimnasium dan Galeri Infosihat.
Pelancaran Digital
'Jom Amalkan Tip Kekal Sihat dan Cergas pada Bulan Ramadan'
20 Mac 2024
Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Pendidikan Kesihatan telah menerbitkan buku digital Jom Amalkan Tip Kekal Sihat dan Cergas pada Bulan Ramadan. Buku ini memberi panduan kepada rakyat Malaysia terutamanya kaum Muslimin untuk terus mengamalkan pembudayaan hidup sihat walaupun sedang menjalani ibadah puasa. Pelancarannya telah disempurnakan oleh YB Menteri Kesihatan dalam Perhimpunan Bulanan KKM.
Bahagian Pendidikan Kesihatan juga mendapat kerjasama Rakan Strategik ANMS untuk melakukan sebaran kepada orang awam di pelbagai platform media dan aktiviti jangkau luar. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat!
Semoga orang ramai mendapat manfaat dan menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna ke arah Malaysia Sihat Sejahtera.
Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Agenda Nasional Malaysia Sihat
20 Februari 2024
Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan merupakan kali pertama diadakan pada tahun ini bertempat di Bilik Gerakan KKM, Aras 4, Blok E7, Kompleks E, Putrajaya.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Bahagian dan Pegawai-pegawai dari semua kementerian.
Kemaskini pada 2025-11-25 15:41:39 daripada HECC











_.jpeg)
.jpg)



























_.jpeg)

