KOSPEN WOW 2022 - FAQ

1. Adakah Program KOSPEN WOW hanya melibatkan pekerja sahaja?

Program KOSPEN WOW adalah merupakan program intervensi faktor risiko untuk membentuk amalan budaya hidup secara sihat dalam kalangan majikan dan pekerja. Majikan berperanan dalam memberi komitmen, sokongan padu dan memastikan kelansungan program.

2. Adakah terdapat had tertentu untuk agensi menerapkan Program KOSPEN WOW?

Tiada sebarang had bagi agensi untuk menerapkan program ini. Program ini terbuka kepada agensi awam dan swasta, dimana bagi agensi swasta semua klasifikasi perusahaan (perusahaan kecil, sederhana dan multinasional) diterima.

3. Bagaimanakah cara untuk agensi memulakan Program KOSPEN WOW?

Mana-mana agensi yang berminat untuk melaksanakan Program KOSPEN WOW boleh berhubung dengan Pegawai Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS) Jabatan Kesihatan Negeri masing - masing atau berhubung secara terus dengan pegawai yang menjaga program di sektor KPAS Ibu Pejabat KKM.

4. Bagaimanakah strategi pelaksanaan Program KOSPEN WOW?

Secara dasarnya agensi perlu membentuk Jawatankuasa Pelaksanaan di tempat kerja yang terlibat, seterusnya pasukan penyelaras diberi latihan oleh pihak KKM sebelum melaksanakan aktiviti program.

5. Apakah peranan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia?

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bertindak sebagai input teknikal program.

6. Apakah peranan majikan bagi setiap agensi?

Selain bersetuju menerapkan polisi kesihatan dan skop program, majikan juga perlu bersedia untuk berkongsi data agregat program, menyediakan peralatan dan prasarana untuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti program dan memantau pelaksanaan aktiviti agar mencapai objektif dan sasaran program.

7. Apakah peranan pasukan penyelaras Program KOSPEN WOW?

Pelantikan Pasukan Penyelaras adalah penting untuk strategi pelaksanaan program kerana mereka merupakan functional unit dalam program. Pasukan penyelaras berperanan menjalankan advokasi, promosi, nasihat kesihatan dan intervensi kepada rakan sekerja. Mereka juga diberi tanggungjawab menyediakan profil kesihatan pekerja dan menghantar laporan aktiviti kepada majikan.

8. Siapakah yang layak untuk menjadi ahli pasukan penyelaras?

Ahli pasukan penyelaras boleh dilantik dari pelbagai kategori jawatan. Seharusnya mereka adalah seorang yang komited dan mempunyai minat berkiatan penjagaan kesihatan dan bersedia untuk bekerja secara sukarela.

9. Apakah peranan Kementerian Kesihatan Malaysia selepas latihan?

KKM bertindak sebagai penyelaras dalam membantu pelaksanaan aktiviti program. Disamping itu, lawatan bimbingan atau lawatan susulan akan dilaksanakan mengikut keperluan skop selepas latihan.

10. Apakah peruntukan yang perlu disediakan oleh agensi untuk melaksanakan Program KOSPEN WOW?

Pihak agensi perlu menyediakan peruntukan seperti:

  1. Keperluan peralatan saringan kesihatan
  2. Prasarana atau persekitaran yang membolehkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti program
  3. Bahan-bahan promosi program di agensi
  4. Penganjuran latihan untuk pekerja

11. Adakah perlu melaksanakan semua skop secara serentak?

Terdapat 8 skop di dalam program. Agensi tidak perlu melakukan kesemua skop serentak, sebaliknya agensi diberi pilihan untuk melakukan skop yang dipersetujui bersama dan skop selebihnya boleh dilakukan secara berfasa mengikut keupayaan peruntukan dan tenaga kerja agensi.

12. Kenapakah saringan kesihatan perlu diutamakan?

Adalah menjadi hasrat KKM untuk memberi penekanan yang berat kepada skop saringan kesihatan. Ini adalah kerana melalui saringan kesihatan majikan dapat mengetahui status kesihatan pekerja mereka, menyediakan sistem profiling pekerja yang menyeluruh di samping menyediakan perancangan yang bersesuaian bagi halatuju aktiviti selanjutnya. Melalui saringan kesihatan juga ianya dapat membantu untuk mengenalpasti intervensi yang bersesuaian bagi pekerja yang berisiko sementara mereka yang mempunyai potensi penyakit berpenyakit di rujuk ke klinik kesihatan bagi penjawat awam manakala hospital atau klinik panel bagi penjawat swasta.

13. Apakah komponen saringan kesihatan yang perlu laksanakan?

Komponen saringan kesihatan asas yang perlu dilakukan adalah seperti berikut;

  1. Pengiraan Index Jisim Badan (BMI)
  2. Pengukuran tahap tekanan darah
  3. Pengukuran tahap glukosa dalam darah
  4. Status merokok
  5. Status kesihatan mental
  6. Status kemudaratan alkohol

14. Dimanakah surat rujukan dapat diterima dan diguna pakai?

Surat rujukan Program KOSPEN WOW yang dikeluarkan oleh ahli pasukan penyelaras dari agensi awam perlu dirujuk ke Klinik Kesihatan, manakala agensi swasta perlu dirujuk ke Klinik atau Hospital Panel.

15. Siapakah boleh dihubungi jika ada sebarang pertanyaan atau masalah tentang program?

Agensi boleh menghubungi Pegawai Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar negeri masing-masing atau berhubung terus dengan sekretariat program di Ibu Pejabat KKM di email kospenplus@moh.gov.my.

 


Kemaskini pada 2022-04-20 10:29:54 daripada kospenp_admin

  •  
  • Print
  • Email this page